Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

09.01.2017_MAJLIS PELANCARAN PELAN STRATEGIK 2016-2020 KEMENTERIAN SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN DAN JABATAN-JABATAN DIBAWAHNYA

Majlis Pelancaran Pelan Strategik 2016-2020 Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya (iaitu Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Jabatan Perikanan, Jabatan Perhutanan, dan Jabatan Kemajuan Pelancongan) telah diadakan pada 11 Rabiulakhir 1438 bersamaan 9hb Januari 2017 bertempat di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Pelancarannya telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Hadir di Majlis tersebut ialah, Yang Mulia Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Setiausaha Tetap; Yang Mulia Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali, Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan); Pengarah-Pengarah, Ketua-Ketua Bahagian, Pegawai-Pegawai Kanan serta pegawai-pegawai di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Melalui Pelan Strategik Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (2016-2020), Visi Kementerian ini ialah "Ke Arah Pertumbuhan Pesat Keluaran Industri Sumber-Sumber Utama Dan Pelancongan Sehingga Mampu Menyumbang Kepada Pertumbuhan Ekonomi Demi Mencapai Wawasan Brunei 2035." Sementara, misi Kementerian ini pula ialah "Menerajui Pertumbuhan Keluaran Industri Sumber-Sumber Utama Dan Pelancongan Untuk Menjadi Penyumbang Yang Signifikan Kepada Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Dengan Menggalakkan Pelaburan Dari Dalam Dan Luar Negara, Dan Dengan Memberi Penekanan Kepada Peningkatan Produktiviti, Penggunaan Teknologi Tinggi, Serta Memfokus Kepada Pasaran Eksport."

Selaras dengan visi dan misi tersebut, Kementerian ini memberikan penekanan kepada empat (4) teras utama, iaitu: Pertumbuhan (growth); Produktiviti; Eksport; dan Berdayatahan (sustainable).

Pelan Strategik Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (2016-2020) juga menghuraikan matlamat-matlamat strategik Kementerian ini seperti berikut:

  1. Meningkatkan sumbangan keluaran industri Pertanian, Perikanan, Perhutanan dan industri Pelancongan kepada pertumbuhan KDNK.
  1. Meningkatkan jumlah keluaran dan nilai eksport dari industri Pertanian, Perikanan dan Perhutanan.
  1. Meningkatkan produktiviti industri Pertanian, Perikanan dan Perhutanan melalui penggunaan teknologi dan teknik-teknik moden secara meluas.
  1. Mengurangkan pergantungan ke atas impot barang makanan tetapi bersikap terbuka dengan peningkatan impot bahan bagi industri pemprosesan.
  1. Meningkatkan pendapatan negara melalui pertukaran asing yang dijana daripada aktiviti eksport dan daripada industri pelancongan.
  1. Meningkatkan pertumbuhan jumlah ketibaan pelancong dan pertumbuhan perkhidmatan yang berkaitan dengan pelancongan di Negara Brunei Darussalam supaya dapat menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan KDNK
  1. Mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
  1. Mengurangkan pergantungan kepada perbelanjaan Kerajaan dalam melaksanakan strategi dan program untuk meningkatkan keluaran industri-industri dengan menggunakan kaedah-kaedah seperti dengan 'public private partnership' (PPP), joint venture (JV) dan lain-lain.

Bagi tempoh tahun 2016 hingga 2020, Kementerian ini mensasarkan keluaran kasar industri Sumber-Sumber Utama meningkat dari $511 juta pada tahun 2015 kepada $1.8 billion menjelang tahun 2020, ia itu peningkatan purata sebanyak 28.8% setahun. Dengan demikian sumbangan sektor pertanian, perikanan dan perhutanan akan meningkat dari 1% KDNK pada tahun 2015 kepada 5% KDNK menjelang tahun 2020.

Untuk mencapai sasaran dan trajektori 2016-2020, Kementerian ini melalui Jabatan-Jabatan yang berkenaan akan memberikan tumpuan kepada beberapa industri utama, iaitu industri ayam pedaging; industri sayur-sayuran; industri bunga keratan; industri agrimakanan; industri akuakultur (ternakan ikan dalam sangkar luar pantai dan ternakan udang); industri pemprosesan makanan laut; dan industri hiliran dan nilai tambah perhutanan.

Bagi sektor pelancongan, Kementerian mensasarkan bilangan ketibaan pelancong meningkat dari 218,000 pada tahun 2015 kepada 450,000 pada tahun 2020, ia itu peningkatan purata sebanyak 5.9% setahun. Nilai  pendapatan dari sector pelancongan dijangka mencecah $335 juta menjelang 2020.

Melalui Pelan Strategik ini, Kementerian ini juga mensasarkan akan berupaya mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Sehingga tahun 2020 nanti, industri Pertanian dijangka akan dapat menjana lebih 4,800 tambahan peluang pekerjaan, industri Perikanan menyediakan lebih 2,500 tambahan peluang pekerjaan; industri Perhutanan lebih 360 tambahan peluang pekerjaan, dan industri Pelancongan pula akan menyediakan lebih 330 tambahan peluang pekerjaan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dalam ucapan pelancaran nya telah menyentuh beberapa perkara utama dalam melaksanakan Plan Strategik Kementerian. Antaranya, ialah:

  • Perubahan sikap dan minda seluruh warga Kementerian ini adalah juga sangat dituntut dan diperlukan dalam melaksanakan kerja-kerja yang diberikan. Sikap 'Business as Usual' perlu dikikis. Semua peringkat pegawai perlu bekerja lebih gigih dan cemerlang bagi memastikan Kementerian dapat melaksanakan strategi strategi yang telah ditetapkan. 
  • Menasihatkan pegawai supaya bekerja mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dan mengikut urustadbir yang terbaik, dan saling mengingati supaya dapat mencapai sasaran dengan jayanya tanpa menghadapi sebarang insiden yang kurang disenangi jua.

Majlis juga diselajurkan dengan penyerahan Pelan Strategik 2016-2020 Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, dan jabatan-jabatan dibawahnya kepada Yang Mulia Setiausaha Tetap; Yang Mulia Timbalan Setiausaha Tetap; Pengarah-Pengarah dan Ketua-Ketua Bahagian di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Dikeluarkan oleh:

Bahagian Dasar dan Perancangan

Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan

Negara Brunei Darussalam

Attachments